MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Merekayasa Agenda Ekonomi Bumiputera bagi menilai semula pendekatan dan pelaksanaan agenda ekonomi Bumiputera supaya lebih berkesan.
Cadangan itu dibincangkan dalam satu pertemuan MPM bersama sekumpulan usahawan muda di Wisma MPM Bina Daulah, di Kuala Lumpur, Selasa lalu.
MPM berkata, pertemuan itu memberi ruang kepada golongan muda berkongsi pengalaman, pandangan dan idea berkaitan agenda ekonomi Bumiputera, termasuk langkah memperkukuh pelaksanaannya.
Menurut MPM, pengalaman mengusahakan 14 resolusi utama Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 1965 yang dinamakan Kongres KEB 1 1965-2020 turut menjadi antara perkara yang dibincangkan.
“MPM amat teruja dengan keghairahan kerajaan ketika itu yang mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Bersama MPM-Kerajaan bagi memperhalusi 14 resolusi itu.
“Malangnya, keghairahan itu sekadar mimpi untuk membuatkan kami terlena seketika dengan janji-janji manis, tanpa sebarang hasil,” kata MPM dalam kenyataan..
MPM berkata, agenda ekonomi Bumiputera perlu direkayasa dengan mengaitkannya kepada DEB 1970, Rancangan Malaysia Ke-13 dan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, selain hak dan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.
MPM turut membangkitkan persoalan mengenai pelaksanaan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, termasuk sejauh mana peruntukan berkenaan benar-benar dilaksanakan bagi memastikan kepentingan Bumiputera terpelihara.
Dalam pada itu, MPM berpandangan usaha memperkukuh ekonomi Bumiputera tidak boleh hanya bergantung kepada kementerian, agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
‘’Sebaliknya, usahawan Bumiputera perlu lebih berani, yakin dan proaktif dalam membina jaringan perniagaan serta mendapatkan sokongan profesional,’’ kata kenyataan tersebut.
MPM turut mengingatkan generasi muda supaya mengambil peranan lebih besar dalam memperjuangkan agenda ekonomi Bumiputera.
“Jawatankuasa ini hendaklah memilih jalan yang berbeza daripada apa yang pernah MPM lakukan sebelum ini. Setiap tindakan mereka hendaklah sentiasa merujuk kepada hak Bumiputera seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, undang-undang dan akta,” kata kenyataan itu
Menurut MPM, jika terdapat mandat yang telah diperoleh tetapi belum mempunyai undang-undang atau akta khusus bagi menguatkuasakan pelaksanaannya, kerajaan perlu mempertimbangkan penggubalan akta berkenaan.
MPM turut menyatakan komitmen untuk membantu dan menganggotai jawatankuasa berkenaan, selain menyediakan sokongan sekretariat bagi memastikan usaha merekayasa agenda ekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan secara tersusun.





