Tiada waris tuntut mayat ditemukan dalam ruangan tayar kapal terbang

MAYAT lelaki tanpa identiti yang ditemukan di ruangan simpanan tayar pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, pada 27 Ogos lalu masih belum dituntut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini juga tiada maklumat lanjut yang dapat mengesahkan identiti mangsa.

“Setakat ini tiada individu yang tampil memberi maklumat. Sekiranya ada ahli keluarga yang masih belum pulang atau hilang boleh berhubung di balai polis berhampiran untuk kami lengkapkan siasatan.

“Identiti mayat itu juga masih belum dapat ditentukan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini, lapor Bernama.

Ditanya mengenai punca keberadaan mangsa di dalam pesawat tersebut, Shazeli berkata, perkara itu masih menjadi persoalan dan dalam siasatan pihaknya, selain turut menjelaskan kes serupa pernah berlaku sebelum ini.

“Ini bukan kes pertama, pernah berlaku sedemikian rupa iaitu individu dijumpai di tempat simpanan tayar. Saya tak nak beri kesimpulan kerana dibimbangi tersasar. Kita tunggu hasil siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Shazeli berkata, polis sedang mengesan pemilik dan kru bot nelayan yang didakwa tidak menuntut mayat seorang mangsa tragedi bot karam, untuk dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, setakat semalam polis telah mengambil keterangan daripada mangsa yang selamat, namun masih ada individu berkaitan terutama saksi lain yang belum dirakam kerana tahap kesihatan belum mengizinkan.

“Kita sedang berusaha melengkapkan siasatan termasuk mengesan nelayan dan pemilik bot yang digunakan seperti didakwa itu. Insya-Allah, kita usahakan untuk mendapatkan maklumat dan melengkapkan hasil siasatan,” katanya.

Berkenaan dakwaan keluarga mangsa yang mempertikaikan mengapa mayat tidak diambil ketika empat mangsa terselamat ditemukan, Shazeli berkata, pihaknya masih menyiasat perkara tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan percakapan dan keterangan saksi yang telah dirakam setakat ini terdapat kemungkinan mayat berkenaan melibatkan individu berlainan dan bukan daripada kumpulan pemancing sama.

“Berdasarkan percakapan dan keterangan saksi yang terlibat, kita yakin kejadian tersebut mungkin melibatkan individu berlainan dan bukan daripada kumpulan sama. Ini kerana pengecaman tidak dapat dijalankan pada waktu tersebut susulan keadaan mayat berkenaan,” katanya.

Dalam tragedi pada 13 September itu, empat pemancing terselamat iaitu Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd Rizal Mohamad Sadali dan Muhd Hamiszar Punirain masing-masing berusia 45 tahun dan Zulfikalnain Awang, 47.

Dua mangsa disahkan maut iaitu Mohamad Shahril Abd Rahman, 43, dan Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, manakala Raja Mohd Rozi Raja Mohamud, 49, masih belum ditemukan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here