SEORANG lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan Pasar Besar Ipoh di Jalan Laksamana, di Ipoh pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 9.25 pagi.
Menurut beliau, mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, pada jam 10.30 pagi bagi menjalani proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Najib turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung insiden berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dan tidak menjejaskan siasatan polis.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-245 1500 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.




