Bakal pendidik perlu berani tolak rasuah menerusi Debat Antirasuah IPG Perlis

PENGANJURAN Program Debat Antirasuah Keep Malaysia Clean (KMC) menjadi platform terbaik dalam memupuk nilai integriti serta membentuk keberanian bakal guru untuk menolak sebarang amalan rasuah.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani menekankan bahawa penganjuran debat bukan sekadar menguji kepetahan berhujah, sebaliknya mengajar mahasiswa untuk berani mempertahankan kebenaran dan menyanggah perkara salah.

Beliau turut memetik ungkapan tular ‘Guru, hentikan guru’ sebagai peringatan tegas kepada para pendidik masa hadapan agar berupaya memutuskan rantai jenayah rasuah di alam kerjaya kelak.

Program anjuran Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis dengan kerjasama SPRM Perlis itu telah diadakan pada 27 Ogos dan 1 September lalu. Seramai 16 mahasiswa mengambil bahagian mewakili empat jabatan akademik iaitu Jabatan Pengajian Melayu (JPM), Jabatan Ilmu Pendidikan (JIP), Jabatan Sains Sosial (JSS) serta Jabatan Bimbingan dan Kaunseling (JBNK).

Selain berdebat, para peserta turut didedahkan dengan pengisian taklimat KMC oleh Muhd Naim Zakaria yang menyentuh aspek ketelusan, tatakelola perolehan, penerimaan hadiah dan ketegasan menolak rasuah.

Dalam pertandingan berkenaan, JPM berjaya merangkul gelaran juara manakala JSS muncul naib juara. Tempat ketiga dan keempat masing-masing diduduki oleh JIP dan JBNK. Anugerah Pendebat Terbaik pula dimenangi oleh Puteri Alya Rosli dan Nadzatul Syafiqah Ab Rashid.

Majlis penutupan program tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah IPG Perlis, Dr Azizah Sarkowi, pegawai-pegawai pengurusan IPG Perlis serta kepimpinan SPRM Perlis.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here