SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak mengemukakan 12 syor penambahbaikan tata kelola kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED) serta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) demi menutup ruang rasuah dan penyelewengan.
Langkah itu susulan dapatan penyiasatan tata kelola oleh SPRM Sarawak berhubung kaedah agihan peruntukan menerusi pendahuluan tunai (cash advance) kepada Pegawai Pembangunan Sukan (SDO) bagi pelaksanaan program di bawah seliaan mereka.

Antara cadangan utama yang dikemukakan termasuklah menghentikan amalan pendahuluan tunai kepada kakitangan SSC, memperincikan peranan SDO, serta mewujudkan garis panduan bantuan kewangan yang seragam buat semua agensi di bawah MySED.
Selain itu, SPRM Sarawak turut mengesyorkan penambahbaikan sistem penyaluran geran, pembinaan pangkalan data terpusat bagi merekodkan permohonan, serta pengesahan silang antara agensi menerusi Borang Pengesahan Tiada Pertindihan Permohonan Bantuan Kewangan.
Bagi mengukuhkan kawalan, SDO diwajibkan membuat pengisytiharan kepentingan dan menggunakan borang permohonan standard. Tempoh penyelesaian pelarasan dokumen juga ditetapkan dalam masa 14 hari selepas program tamat, manakala bantuan baharu tidak akan diluluskan sekiranya pelarasan terdahulu masih belum diselesaikan.
Syor berkenaan diserahkan oleh Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Hasbilah Mohamad Salleh kepada Setiausaha Tetap MySED, Dzolkarnain Masron di Bangunan Baitul Makmur 2 di Kuching semalam.
Dzolkarnain menyambut baik syor tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperketat kawalan dalaman agensi. Sesi berkenaan turut menyaksikan pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tata kelola dengan dihadiri Timbalan Setiausaha Tetap MySED, Nancy Hj Jolhi serta Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Mu’azamir Haji Jili.





