PARTI Wawasan Negara (Wawasan) hari ini mempersoalkan sama ada terdapat ‘tangan ghaib’ di sebalik pengeluaran dua notis kepada Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung kegiatan gabungan itu berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan Wawasan membangkitkan persoalan itu kerana notis tersebut bertepatan dengan pengumuman Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab.Rauf Jusoh yang mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuatkuasa semalam.
‘’Wawasan Negara beranggapan tindakan ini adalah bermotifkan politik dan bertujuan menyekat PN daripada bertanding dalam PRN Negeri Melaka yang akan berlangsung tidak lama lagi,’’ katanya.
RoS hari ini mengesahkan dua notis kepada PN iaitu Notis pertama (bertarikh 22 September 2026) ialah Notis Kenyataan Sebelum Pendaftaran Dibatalkan di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966.
Manakala Notis kedua (bertarikh 23 September 2026) ialah Notis Perintah Penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 menggantung serta merta kegiatan PN.
Dalam kenyataan tersebut, Wawasan menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan parti komponen PN dalam memastikan jentera dan persiapan menghadapi PRN Melaka berjalan seperti yang dirancang.





