Suami isteri bebas tuduhan edar 81.77 gram methamphetamine

PASANGAN suami isteri dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini daripada pertuduhan mengedar 81.77 gram methamphetamine di Bachok, kira-kira empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Mokhtar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed Mohamad Haizat Syed Hassan, 32, dan Nurul Syahira Zakaria, 30, di akhir kes pendakwaan.

Menerusi alasan penghakiman, Azhar berkata hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada bungkusan dadah yang ditemui dalam bakul motosikal di dapur rumah serta jaket yang digunakan untuk membungkus barangan terlarang itu adalah negatif daripada dikaitkan dengan kedua-dua tertuduh.

Beliau berkata, rumah berkenaan juga boleh dimasuki sesiapa sahaja menerusi pintu utama atau bahagian dapur.

“Di sebelah rumah tertuduh terdapat kedai basuh kereta di mana tiga pekerja premis itu sering menggunakan tandas di rumah tertuduh. Mereka sebelum ini sudah ditangkap namun dibebaskan dengan jaminan polis.

“Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tiada sebarang maklumat dapat mengaitkan tertuduh kedua iaitu Nurul Syahira dengan dadah yang dijumpai.

“Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu secara bersama didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 81.77 gram methamphetamine di sebuah rumah di Batu 19, Kampung Badak, Bachok pada jam 11 pagi, 20 Mac 2022.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, dipenjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan, manakala Syed Mohamad Haizat diwakili Azrul Hashimi Mohammad dan Nurul Syahira diwakili Mohd Firdaus Zainal Abidin serta Mohd Zubairi Salleh.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here