Tiga mekanik bebas tuduhan edar dadah

TIGA rakan yang juga mekanik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini daripada dua pertuduhan mengedar dadah selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Hakim Kan Weng Hin membuat keputusan itu terhadap Tarji Suwoto, 65; Rojeb Imarom, 56, dan Firdaus Hashim, 29, selepas meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Dalam penghakimannya, Weng Hin berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan siapakah individu yang menunjukkan lokasi dadah ditemui di dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, fakta yang dikemukakan juga tidak menunjukkan mana-mana tertuduh membawa dadah yang dijumpai.

“Mengenai isu kereta, berdasarkan keterangan saksi, tertuduh pertama dan kedua turun daripada Toyota Hilux tanpa membawa apa-apa barang termasuk barang kes yang kemudian ditemukan di dalam rumah.

“Pihak pendakwaan juga tidak dapat membuktikan siapa yang menunjukkan dadah itu. Tidak boleh ketiga-tiga mereka menunjukkan lokasi yang sama, sebaliknya mestilah seseorang.

“Saya berpendapat semua keadaan ini menimbulkan keraguan yang munasabah dan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh. Oleh itu, mereka dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Mengikut dua pertuduhan, ketiga-tiga lelaki warga tempatan itu didakwa bersama-sama mengedar 4,207.66 gram ketamin dan 369.14 gram methamphetamine di sebuah rumah di Kampung Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, kira-kira jam 11 pagi, 27 Jun 2021.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding perbicaraan yang berlangsung dari 21 Ogos 2024 hingga 13 Mei lalu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar memanggil lima saksi.

Tarji diwakili peguam John Fernandez, Rojeb diwakili Selvanteran Segaran manakala Firdaus diwakili Lydiana Mansor.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img