China bersetuju jajaran ECRL disambung hingga Rantau Panjang

LALUAN  Rel Pantai Timur (ECRL) akan dilanjutkan hingga ke Rantau Panjang, Kelantan, sekali gus berpotensi membuka hubungan rel terus antara Malaysia dan Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan China bersetuju dengan cadangan penyambungan jajaran ECRL berkenaan.

Menurut beliau, cadangan itu membabitkan penyambungan laluan ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand, dengan jarak dianggarkan sekitar 25 kilometer.

Anwar berkata, perkara itu turut dibincangkan dengan Perdana Menteri Thailand, selain perbincangan lanjut bersama semua pihak berkepentingan akan dibuat susulan mesyuarat Jemaah Menteri.

“Perkara ini juga telah saya bincangkan dengan Perdana Menteri Thailand. Inisiatif ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan bagi kawasan yang sebelum ini terpinggir daripada arus pembangunan perdana,” katanya.

Penyambungan ECRL ke Rantau Panjang berpotensi memperkukuh kesalinghubungan rel antara Malaysia dan Thailand, khususnya melalui rangkaian rel sedia ada yang menghubungkan Rantau Panjang dengan Sungai Golok di Thailand.

Selain memperkukuh hubungan rentas sempadan, projek berkenaan juga berpotensi meningkatkan pergerakan penumpang dan kargo antara kedua-dua negara, di samping merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan Pantai Timur.

Ketika ini, ECRL menghubungkan Kota Bharu di Kelantan dengan Pelabuhan Klang di Selangor, dengan jajaran sepanjang kira-kira 640 kilometer.

Jika direalisasikan, penyambungan ke Rantau Panjang akan memberi dimensi baharu kepada ECRL sebagai bukan sahaja penghubung Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung, malah berpotensi menjadi sebahagian daripada rangkaian rel rentas sempadan Malaysia-Thailand.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here