ABANG Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Idrus Ibrahim, meninggal dunia hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau menerima khabar duka itu ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia.
“Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, saya menerima khabar yang meruntun jiwa bahawa abang saya, Idrus Ibrahim, telah pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Anwar berkata, pemergian Allahyarham amat dirasai kerana mereka berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup.
“Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada dan hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini,” katanya melalui Facebook beliau.
Anwar turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat berada di sisi Allahyarham pada saat-saat akhir, namun reda dengan pemergian berkenaan.
“Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan Allahyarham, yang akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati keluarga.
Perdana Menteri turut memohon orang ramai menitipkan doa buat Allahyarham Idrus agar Allah SWT mengampuni segala khilafnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.





