MCMC bukan alat politik kerajaan sekat kebebasan bersuara – Fahmi

KERAJAAN tidak pernah menggunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai alat politik untuk menyekat kebebasan bersuara mana-mana pihak terutamanya di platform media sosial, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Sebaliknya, beliau berkata MCMC adalah platform penting untuk kerajaan mengawal selia medium media sosial yang ada di negara ini bagi menjamin keselamatan rakyat di ruangan digital.

“Ramai salah faham, contohnya mengenai penurunan kandungan di platform media sosial seperti di Facebook, ia bukan seorang menteri yang putuskan, bukan Fahmi Fadzil, bukan MCMC tetapi tindakan platform itu sendiri.

“MCMC adalah alat untuk (keselamatan) rakyat… mereka ada mengadu tentang buli siber, tentang sebaran gambar intim, tentang scam dan banyak lagi… jadi, sebaik mana rakyat mahukan perkhidmatan MCMC maka berkhidmatlah MCMC ini,” katanya ketika menjadi tetamu audio siar The Tiger Show dihoskan wartawan Amin Iskandar hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata sebarang laporan dan aduan yang diterima MCMC akan dipanjangkan kepada penyedia platform untuk tindakan lanjut mengikut Garis Panduan Komuniti media sosial berkaitan serta berlandaskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Contohnya kalau saya mengadu kepada MCMC, saya buat aduan sendiri, belum tentu kandungan itu diturunkan, yang menurunkan kandungan tu adalah Facebook, TikTok sekiranya mereka review dan bersetuju sesuatu kandungan itu melanggar undang-undang.

“Sebab itu, katakanlah sekarang MCMC hantar hampir setengah juta permintaan untuk turunkan kandungan, mungkin daripada keseluruhan jumlah itu hanya 90 peratus sahaja yang diturunkan kerana ini tindakan penyedia platform, bukan diputuskan MCMC,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini semua penyedia platform di Malaysia memberikan kerjasama kepada kerajaan terutamanya dalam menangani kandungan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan raja (3R).

“Namun macam benda satira, yang mengejek dan sebagainya, biasanya platform akan kata ia merupakan kandungan yang tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu, mengenai perancangan beliau memastikan platform digital lebih selamat untuk rakyat, Fahmi berkata misi utama kementerian ketika ini ialah melaksanakan kolaborasi rentas kementerian dalam mengawal selia ekonomi digital yang berpaksikan e-dagang.

“Saya jaga sektor telco, sektor kurier… kita nampak ada aduan daripada pemilik kedai sebab sekarang ini, banyak barang yang dijual tidak berkualiti, tiada pemantauan malah terlalu murah sehingga peniaga-peniaga kita, ramai bumiputera yang sangat terkesan.

“Jadi, saya mahu selesaikan bersama Kementerian Kewangan dan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).

Beliau juga berkata sekiranya tidak bertindak segera, Malaysia akan dilanda lambakan produk terutama elektrik dan elektronik yang tak menepati piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta berisiko kepada pembeli.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here