POLIS Negeri Sembilan menegaskan tindakan mengehadkan akses ke beberapa lokasi di negeri itu, termasuk pusat pentadbiran kerajaan negeri Wisma Negeri bertujuan menjaga keamanan.
Ketuanya Alzafny Ahmad berkata pihaknya tidak memihak kepada mana-mana pihak dalam kemelut diraja yang sedang berlaku dan menghormati proses Perlembagaan, perundangan serta institusi yang sedang berjalan.
“Berhubung penempatan anggota di beberapa lokasi termasuk Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Balai Undang Luak Sungei Ujong dan Wisma Negeri, langkah keselamatan itu dilaksanakan bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara.
“Bagaimanapun, polis sedang mengawal akses ke Wisma Negeri susulan pengumuman Istana Negeri Sembilan bahawa pelantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) telah dibatalkan. Langkah ini semata-mata bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin serta urusan di premis berkenaan dapat berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata sekatan itu dilaksanakan secara teratur berdasarkan penilaian keselamatan, keperluan pengurusan premis terbabit serta bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam.
“Tindakan ini tidak seharusnya ditafsirkan sebagai polis memihak atau mengiktiraf mana-mana pihak dalam perkara yang masih melalui proses perlembagaan dan perundangan,’’ katanya.
Alzafny turut menggesa orang ramai supaya bertenang, menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan atau keresahan.





