ISU akaun aplikasi WhatsApp yang sukar diakses, digodam atau disekat kini berada dalam penelitian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berikutan kebimbangan yang dicetuskan orang ramai.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, semua maklum balas yang diterima telah dikemukakan kepada pihak Meta bagi mendapatkan penjelasan rasmi dan penyelesaian sewajarnya.
Menurut suruhanjaya itu, insiden pencerobohan akaun (account compromise) serta tindakan sekatan merupakan dua isu yang berasingan.
“Pengambilalihan akaun oleh pihak luar, berisiko tinggi digunakan bagi tujuan penipuan siber mahu pun penghantaran spam hingga melanggar syarat perkhidmatan seterusnya mencetuskan sekatan automatik daripada Meta.
“Pihak kawal selia itu menasihatkan pengguna yang terjejas agar membuat rayuan atau prosedur pemulihan hanya menerusi saluran rasmi aplikasi berkenaan,” kata kenyataan MCMC hari ini.
Menurut MCMC, pengguna juga dinasihatkan agar tidak berkongsi kod pengesahan atau PIN keselamatan, mengaktifkan ciri Two-Step Verification, serta mengelakkan pautan atau aplikasi mencurigakan.
Katanya lagi, orang ramai diseru supaya berwaspada terhadap sindiket pemulihan akaun palsu yang mengenakan bayaran serta meminta maklumat peribadi.
MCMC menambah, aduan susulan boleh dibuat terus kepada pihak suruhanjaya sekiranya saluran rasmi WhatsApp gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Menurut kenyataan itu lagi, MCMC akan meneruskan pemantauan rapat bersama pihak platform bagi memelihara hak serta keselamatan para pengguna.





