TAKTIK penyeludupan dadah bernilai hampir RM6 juta terbongkar secara tidak sengaja selepas polis menemukan sejumlah 72 kilogram bunga ganja dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 48.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Kota Setar, Kedah petang semalam.
Nahas berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish merempuh belakang kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux sehingga terbalik.
Menurut sumber, pemandu MPV terbabit kemudian bertindak melarikan diri dengan menyeberangi lebuh raya sebelum disyaki menumpang sebuah motosikal yang lalu di kawasan berkenaan.
Pemeriksaan polis ke atas kenderaan yang ditinggalkan itu menemukan empat buah beg bagasi berisi 120 bungkusan plastik.
Kata sumber itu, hasil ujian mengesahkan bungkusan berkenaan mengandungi 72 kilogram bunga ganja yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
“Hasil pemeriksaan, lelaki yang melarikan diri itu adalah warga tempatan yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 28J Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan pernah menjalani hukuman,” kata sumber kepada Harian Metro.
Menurut sumber itu lagi, suspek kini diburu polis bagi membantu siasatan mengenai pemilikan bahan terlarang tersebut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian berkenaan.
“Polis sedang menyiasat daripada pelbagai sudut termasuk rangkaian sindiket dadah suspek individu terbabit di negara jiran,” jelas beliau.
Tambah beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.





