Kawat duri, lampu sorot tahanan rumah Najib disifatkan ‘merapu’ – Peguam

CADANGAN supaya kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak dipasang kawat duri, lampu sorot serta dikawal pengawal bersenjata bagi pelaksanaan tahanan rumah disifatkan oleh peguamnya sebagai idea tidak masuk akal.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan bahawa rasional utama tahanan rumah adalah untuk membolehkan seseorang menjalani kehidupan secara wajar, dan hal ini terpakai kepada semua banduan.

“Kenapa tidak dipasang kawat duri di sekeliling rumah Datuk Seri Najib, letakkan lampu dan bina rumah pengawal yang tinggi untuk pengawal duduk di situ dengan membawa submachine gun? Cadangan itu tidak masuk akal,” katanya kepada media selepas prosiding membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Muhammad Shafee, spekulasi awam mengenai syarat ketat pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu adalah tersasar kerana ia berbeza daripada konsep parol atau pengurangan hukuman.

Beliau menjelaskan bahawa mekanisme tahanan rumah terhad sebenarnya pernah dilaksanakan menerusi pengaturan lesen khas yang membolehkan banduan pulang ke rumah untuk tempoh tertentu.

“Lesen ini ialah tahanan rumah, tetapi ia diuruskan melalui pengaturan lesen. Jika anda langgar syarat, anda kembali ke penjara,” katanya lagi.

Menurut kenyataan itu, pasukan pembelaan masih belum menerima surat rasmi berhubung syarat-syarat terperinci pengampunan bersyarat berkenaan.

Tambah Muhammad Shafee, Najib kini kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang sehingga terma serta syarat rasmi dimaklumkan secara sah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here