SEORANG lelaki warga China dikenakan hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencuri sebuah dompet di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), minggu lalu.
Tertuduh, Chen Bangjun, 55, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba mencuri dompet dari dalam beg galas milik seorang lelaki di LTAPP, Bayan Lepas sekitar jam 9.25 hingga 10 pagi pada 17 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama bagi kesalahan cubaan mencuri.
Sebelum itu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sofi Jaafar memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
“Berikutan ia adalah cubaan mencuri, tiada kerugian sebenar yang dilaporkan dan tertuduh mengakui tindakan itu dilakukan kerana ketamakan,” hujah peguam Teh Yi Kai yang memohon pengurangan hukuman atas dasar penyesalan anak guamnya.
Majistret Huey Ting kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan tertuduh turut diarah menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Menurutnya, hukuman itu ditetapkan selepas mengambil kira pengakuan insaf tertuduh yang telah menjalani reman selama sembilan hari.





