SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 7 Oktober depan.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat itu diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 pada 23 September lalu.
Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun itu akan membincangkan tarikh penting pilihan raya, termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.
Selain itu, mesyuarat berkenaan turut menetapkan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.
Beliau memberitahu, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu selesai.





