SUASANA pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Cherok Tok Kun Bawah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan kaki mengiringi jenazah abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim.
Anwar bersama-sama ratusan jemaah menunaikan solat jenazah Idrus, 83, yang diimamkan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman di Dewan Sementara Masjid Cherok Tok Kun Bawah.
Jenazah diusung dari dewan sementara masjid ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman Allahyarham sebelum selamat dikebumikan sekitar jam 2.10 petang selepas solat Jumaat.
Bacaan talkin telah disempurnakan oleh Imam 1 Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah, Ustaz Tengku Zahari Tengku Baharom dengan dihadiri ahli keluarga, pemimpin masyarakat serta penduduk setempat.
Perdana Menteri ketika ditemui pemberita selepas pengebumian sempat mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir serta membantu melancarkan urusan pengebumian Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Cikgu Idrus dari awal sehingga selesai.
“Terima kasih (kepada) semua yang bantu. Terima kasih orang kampung Cherok Tok Kun dan rakan-rakan yang datang. Terima kasih banyak-banyak,” katanya ringkas, lapor BH.
Terdahulu, Anwar turut berjalan kaki dari kediaman keluarga di Jalan Kilang Ubi bagi mengiringi van yang membawa jenazah anak kedua daripada lapan beradik itu pada jam 12.20 tengah hari.
Allahyarham Cikgu Idrus, yang juga bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Stowell menghembuskan nafas terakhir dalam tidur akibat sakit tua sekitar jam 6.10 petang semalam.
Menurut keluarga, Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Faridah Hanim Mohd Ghouse, 80, bersama empat orang anak dan 10 cucu.
Tambah ahli keluarga, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat seluruh warga Cherok Tok Kun dan warga pendidik yang mengenali jasa beliau.





