‘Nyatakan apa salah kerajaan dulu’ – Aminuddin persoal kenyataan Ismail

BEKAS Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini menggesa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim memperincikan kesalahan pentadbiran terdahulu yang didakwa mencetuskan kemelut adat dan institusi diraja di negeri berkenaan.

Beliau menegaskan, rakyat berhak mengetahui fakta khusus berhubung tindakan yang dikatakan gagal dilaksanakan serta sebarang peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 yang didakwa dilanggar.

“Jika ada kesalahan, nyatakan kesalahannya. Jika ada pelanggaran undang-undang, nyatakan peruntukannya. Dalam perkara sebesar ini, rakyat berhak diberikan fakta yang jelas dan boleh diperiksa,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.

Mengulas lanjut, Aminuddin menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab terhadap sebarang keputusan sepanjang tempoh perkhidmatannya berpandukan dokumen dan rekod rasmi.

Semalam, Ismail dilaporkan berkata, kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan bukan berpunca daripada pentadbiran semasa, tetapi merupakan masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mempersoalkan tindakan Ismail menandatangani dokumen proklamasi berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang pernah ditolaknya berikutan keraguan terhadap proses berkenaan.

Aminuddin berkata, dokumen proklamasi bertarikh 19 April lalu itu pernah dikemukakan kepadanya pada 20 April, ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Besar untuk ditandatangan mengikut Perkara 10(2) UUTKNS 1959.

“Saya membuat keputusan tidak menandatangani dokumen terbabit. Jika saya ketika menjadi Menteri Besar boleh membuat keputusan tersebut kerana mempunyai keraguan terhadap prosesnya, bagaimana pula tandatangan Menteri Besar selepas saya boleh berada pada dokumen yang sama.

“Datuk Ismail sebagai orang yang berlatar belakang pengamal guaman, sudah pasti sangat biasa dengan perkataan ‘proses’. Isu membabitkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ini adalah prosesnya. Adakah lengkap atau cacat sejak awal?,” katanya.

Menurut beliau, Perkara 10 UUTKNS bukan sekadar menyentuh soal kuasa, sebaliknya mewajibkan prosedur yang lengkap serta siasatan menyeluruh dipatuhi.

Tambah beliau, sebarang proses yang melibatkan institusi berkenaan perlu dipastikan kesempurnaannya agar tidak menimbulkan kecacatan dari peringkat awal.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here