DATUK Seri Anwar Ibrahim selamat tiba dari ibu negara di kediaman keluarganya di Jalan Kilang Ubi, Cherok Tokun di Bukit Mertajam untuk menziarahi jenazah abangnya, Allahyarham Idrus Ibrahim.
Perdana Menteri tiba kira-kira jam 11.05 pagi bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan sempat bertegur sapa serta bersalaman dengan orang ramai memenuhi pekarangan rumah.
Allahyarham yang meninggal dunia dalam tidur akibat sakit tua akan disolatkan di Dewan Solat Masjid Cheruk Tokun Bawah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheruk Tokun Bawah selepas solat Jumaat.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dan kepemimpinan kerajaan negeri antaranya Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, lapor BH.
Hadir sama pemimpin parti, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antaranya Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim.
Tinjauan mendapati kediaman keluarga Allahyarham yang juga dikenali sebagai Cikgu Idrus, 83, tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Stowell, Bukit Mertajam itu.
Terdahulu, suasana hiba menyelubungi sudut ruang tamu kediaman keluarga Perdana Menteri yang menempatkan jenazah Cikgu Idris dikelilingi ahli keluarga terdekat, sanak saudara dan sahabat handai yang mengalunkan bacaan surah Yasin dan ayat suci al-Quran sejak semalam.





