![]()
SOAL siapa akan bekerjasama dengan siapa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terus menjadi perbualan. Setakat ini Barisan Nasional (BN) yang diramalkan akan terus mempertahankan kemenangan di negeri Hang Tuah itu belum memutuskan dengan siapa gabungan tersebut akan bekerjasama.
Walaupun ada huru-hara BN akan bersama PN khususnya Pas namun ia belum ada kepastian. Tetapi apa yang menarik perhatian penulis dengan siapakah PH akan bersama? Adakah dengan BN atau Bersatu? Ada cakap-cakap PH akan memilih Bersatu.
Bagaimanapun ketika bercakap kepada media di Hanzhou baru-baru ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perbincangan dengan Bersatu.
”Dengan Bersatu pun kita bincang, tak ada lagi keputusan. Saya serah kepada jawatankuasa. Saya tumpu kepada urus negara,” katanya.
Sememangnya hak PH untuk berunding dan bekerjasama dengan sesiapa sahaja cuma soalnya berbaloikah untuk PH bergabung bersama Bersatu?
Situasi kekuatan Bersatu bukan sahaja di Melaka malah seluruh negara bukan seperti PRU-15. Pertelingkahan dalaman semakin melemahkan kekuatan parti tersebut. Tambahan pula, Bersatu kini walaupun berada dalam PN namun mereka tidak ada kerjasama dengan parti tonggak PN iaitu Pas.
Sebelum ini sebahagian besar kekuatan Bersatu dalam pilihan raya bergantung kepada Pas. Atas ehsan Pas juga Bersatu diberi laluan di kerusi DUN dan Parlimen milik Pas, tetapi sekarang Pas telah menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, adakah Bersatu mempunyai kekuatan untuk membantu PH – kalau mereka bekerjasama?
Dua pilihan raya sebelum ini di Johor dan Negeri Sembilan terbukti tanpa kerjasama dengan mana-mana parti, Bersatu tersungkur…calon-calonnya bukan sahaja kalah malah hilang deposit! Oleh itu layakkah Bersatu bekerjasama dengan PH atau wajarkah PH mengambil Bersatu sebagai rakan kongsi untuk bertarung di Melaka? Penulis berpendapat PH sudah ada kekuatan sendiri dan tidak memerlukan Bersatu untuk menang atau tambah kerusi di Melaka.
Apa kelebihan Bersatu? Tidak ada! Sebab itulah media melaporkan sebelum ini kedudukan parti itu di Melaka kini sangat rapuh, terpencil, dan berdepan krisis kelangsungan politik yang serius menjelang PRN.
Jangan lupa pada Februari 2026, struktur organisasi Bersatu Melaka mengalami tamparan hebat apabila lima daripada enam jawatankuasa bahagian mengumumkan pembubaran serta-merta. Bahagian yang terlibat adalah Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah, dan Jasin.
Pemimpin-pemimpin Bersatu boleh berhujah apa sahaja terhadap keadaan itu tetapi adakah Bersatu mempunyai jentera untuk turut membantu PH atau PH yang sengaja mencari beban apabila mahu bekerjasama dengan Bersatu? Oleh itu PH harus berfikir semasak-masaknya sama ada mahu bekerjasama dengan Bersatu atau tidak dalam PRN Melaka. Kalau PH menganggap kerjasama itu boleh menarik sokongan pengundi Melayu…lupakan sahaja.
Ia kerana UMNO dan Pas jauh berpengaruh di Melaka. Kedua-dua parti ini khususnya UMNO mempunyai sokongan tersendiri dalam kalangan orang Melayu. Lebih baik PH bertanding secara solo daripada bekerjasama dengan Bersatu kerana ia ibarat ‘’tak ada beban pi cari beban’.
Terserah kepada pimpinan parti PH membuat keputusan tetapi berdasarkan gossip-gosip di lapangan, bukan kata penyokong malah ada dalam kalangan pemimpin PH sendiri tidak bersetuju untuk PH bekerjasama dengan Bersatu. Jadi kalau PH nak juga buat kerjasama dengan parti-parti lain melalui PH Plus, biarlah carilah parti yang bawa untung, bukannya ‘adapun tak untung, tak ada pun tak rugi’’..betul tak?





