LEBIH 3,000 orang mengunjungi Program MADANI Kita (PMK) 2026 di Dewan Warisan, Kangar, Perlis.
Pada program yang turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil itu, pengunjung mendapatkan pelbagai perkhidmatan disediakan.
Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dalam kenyataan berkata, program anjuran JAPEN Perlis dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri merupakan inisiatif Kerajaan MADANI untuk mendekati rakyat, memahami keperluan dan isu setempat serta memperluas akses kepada perkhidmatan kerajaan secara langsung hingga ke peringkat akar umbi.
‘’Antara pengisian yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat termasuk Jualan RAHMAH, pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan, taklimat isu semasa, pertukaran topi keledar, saringan kesihatan dan pergigian, penukaran minyak enjin motosikal, rawatan kuku tangan serta perkhidmatan gunting rambut secara percuma,’’ kata JAPEN.
Menurut jabatan itu, program berkenaan turut dimeriahkan dengan Larian Malaysia Aktif, pertandingan e-sukan, pertandingan mewarna kanak-kanak serta aktiviti interaktif berkaitan kenegaraan dan keselamatan Internet.
Pada program berkenaan, Fahmi turut menyampaikan Bakul RAHMAH mengandungi bahan makanan dan barangan keperluan asas kepada 100 penerima di kawasan Parlimen Kangar sebagai usaha meringankan beban mereka.
‘’Selaras dengan tema “Memaknai Harapan Rakyat”, pelaksanaan PMK 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian maklumat, akses kepada perkhidmatan serta pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti,’’kata JAPEN.
Turut hadir ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Jabatan PeneranganErwin Khairul Ahmad.





