PAS menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga susulan pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Institut Jantung Negara (IJN), pagi ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemergian Allahyarhamah bukan sahaja dirasai oleh keluarga, malah turut menjadi kehilangan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, Tun Dr Siti Hasmah yang pernah direkodkan sebagai antara wanita terawal di Malaysia berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan, turut banyak menyumbang kepada pembangunan wanita dalam pelbagai bidang.
“Allahyarhamah yang juga direkodkan sebagai wanita pertama di Malaysia yang berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan turut memainkan peranan dalam membantu menaikkan martabat wanita Malaysia merangkumi pelbagai bidang seperti kesihatan, pendidikan dan juga ekonomi sepanjang YAB Tun Dr Mahathir Mohamad bergelar Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, ahli Pas khususnya dan rakyat Malaysia amnya turut berkongsi rasa kehilangan terhadap pemergian Allahyarhamah yang pernah menggalas peranan sebagai Wanita Pertama Malaysia.
“Ahli-ahli Pas khususnya dan seluruh warganegara umumnya turut merasa kehilangan Ibu Negara ini. Semoga roh YABhg Tun Dr Siti Hasmah ditempatkan bersama para solehin,” katanya.
Beliau turut menyampaikan doa agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan golongan yang soleh serta keluarga diberikan kekuatan menghadapi saat duka berkenaan.





