Kampung Angkat MADANI : 26 projek berjumlah RM3.54 juta di Pulau Tioman

SEBANYAK 26 projek melibatkan pembangunan infrastruktur dan program komuniti dengan kos berjumlah RM3.54 juta dilaksanakan di empat kampung di Pulau Tioman menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kesemua projek itu mengambil kira keperluan serta pandangan penduduk setempat khususnya bagi meningkatkan kesejahteraan mereka, sekali gus menyokong aktiviti pelancongan di pulau berkenaan.

Empat kampung itu ialah Kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Salang dan Kampung Genting.

“Secara dasarnya, matlamat Kampung Angkat MADANI ini ialah untuk mengurangkan jurang yang ada antara kawasan bandar dengan luar bandar yang kita lihat infrastrukturnya boleh ditambah baik.

“Jadi, kita menggalakkan penggunaan kontraktor tempatan yang ada kerana projeknya berskala kecil dan dapat memberikan peluang kepada kontraktor di kawasan masing-masing,” katanya.

Amir Hamzah berkata demikian ketika sesi lawatan kerja ke Pulau Tioman bersempena dengan Siri Jelajah Belanjawan di Kampung Angkat MADANI Kementerian Kewangan di pulau itu yang berlangsung pada 26 hingga 27 Sept.

Beliau berkata kesemua projek berkenaan dijangka siap pada 31 Mac depan.

Antara projek dilawati Amir Hamzah ialah kabin bekalan makanan dan tempat letak motosikal awam di Jeti Penumpang di Kampung Tekek selain pemasangan 10 unit lampu solar di Jeti Kampung Juara.

Inisiatif Kampung Angkat MADANI berkenaan turut melibatkan pembinaan jambatan baharu di Kampung Salang serta menaik taraf landskap mesra pelancong di pintu masuk Kampung Genting.

Program komuniti yang akan dijalankan pula ialah program sukan rakyat di setiap kampung dan aktiviti membaiki paip saluran air secara gotong-royong di Kampung Juara pada bulan depan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here