PENAMBAHAN infrastruktur asas di Pulau Tioman antara perkara yang diberi perhatian dalam proses penyediaan Belanjawan 2027 bagi menyokong kesejahteraan penduduk serta pertumbuhan sektor pelancongan di pulau berkenaan.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pengukuhan infrastruktur di pulau itu penting bagi menarik kehadiran lebih banyak pelancong, sekali gus meningkatkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat.
Beliau berkata antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah kemudahan jalan raya, bekalan air, telekomunikasi dan kesihatan bagi menyokong keperluan penduduk serta pelancong.
“Kita kena lihat bagaimana untuk mengukuhkan infrastruktur yang ada supaya kita dapat menarik lebih banyak orang datang ke Pulau Tioman.
“Apabila lebih banyak pelancong datang, peluang pekerjaan juga akan meningkat dan ini akan membantu penduduk di pulau ini,” katanya selepas melancarkan kemudahan laluan gelincir (slipway) di Kampung Mukut, Pulau Tioman, semalam.
Kampung Mukut menjadi antara lokasi yang dikunjungi beliau pada rangka lawatan kerja sempena Siri Jelajah Belanjawan di Kampung Angkat MADANI Kementerian Kewangan pada 26 hingga 27 Sept.
Terdahulu, Amir Hamzah mengadakan sesi libat urus Belanjawan 2027 bersama pemain industri serta agensi yang berkaitan dengan pembangunan Pulau Tioman.
Antara yang terlibat adalah usahawan daripada sektor penginapan, Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Jabatan Laut Malaysia dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang.
Amir Hamzah berkata Kementerian Kewangan akan bekerjasama dengan TDA, kerajaan negeri dan kementerian berkaitan bagi melihat mekanisme yang boleh diperbaiki supaya Pulau Tioman mendapat limpahan daripada peningkatan sektor pelancongan.
Sementara itu, mengenai kemudahan laluan gelincir, Amir Hamzah berkata ia dinaik taraf oleh Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi menggantikan struktur lama yang telah uzur dan menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna, khususnya pelajar yang menjalani latihan sukan pelayaran.
Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan itu berupaya membangunkan sosioekonomi yang ada di Kampung Mukut menerusi penyediaan infrastruktur asas serta pembangunan kemahiran dalam kalangan penduduk setempat.
Kemudahan laluan gelincir yang dinaik taraf itu menyediakan akses lebih selamat kepada pelajar untuk mengendalikan bot serta peralatan pelayaran, sekali gus menyokong pembangunan bakat muda dalam sukan pelayaran.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha TM menerusi TM Future Skills (TMFS), yang melibatkan pelajar daripada keempat-empat sekolah di Pulau Tioman dengan bimbingan teknikal Malaysia Sailing Association (MSA).





