SEMUA pengendali stesen televisyen dan radio diminta menyesuaikan serta menyederhanakan kandungan siaran hari ini sebagai tanda penghormatan terhadap pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah berkenaan diambil bagi mengenang jasa dan sumbangan Allahyarhamah kepada negara selain menghormati pemergian tokoh yang disifatkannya dekat dengan rakyat.
“Ini adalah satu momen yang amat mendukacitakan. Allahyarhamah banyak berjasa pada negara, sering dilihat sebagai seorang individu yang dekat dengan rakyat dan insya-Allah saya telah meminta semua syarikat TV dan radio untuk memastikan siaran pada hari ini disederhanakan dan disesuaikan.
“Kita berikan penghormatan atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian BeONE Mobile, pengendali mudah alih tempatan di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi turut menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga Allahyarhamah.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menggambarkan Allahyarhamah sebagai seorang wanita yang sentiasa memberikan sokongan kepada Tun Dr Mahathir sepanjang perjalanan dan perjuangan beliau.
“Tun Dr Siti Hasmah adalah seorang wanita yang berdiri teguh di belakang seorang tokoh, menemani setiap langkah, setiap perjuangan, setiap jatuh dan bangun, dalam diam yang penuh pengorbanan,” katanya.
Fahmi berkata, perjalanan Tun Dr Mahathir kini perlu diteruskan tanpa kehadiran insan yang selama ini sentiasa berada di sisinya.
Beliau turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan itu.
Pada masa sama, beliau mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.





