Razif Sidek anggap Tun Dr Siti Hasmah ‘ibu’ skuad Piala Thomas 1992

LEGENDA badminton negara, Datuk Razif Sidek menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai satu kehilangan yang amat dirasai oleh keluarga badminton tanah air.

Bagi bekas kapten skuad Piala Thomas 1992 itu, Allahyarham mempunyai tempat istimewa dalam kalangan pemain yang mencipta sejarah membawa pulang trofi berprestij berkenaan selepas 25 tahun penantian.

Razif berkata, peranan Tun Dr Siti Hasmah ketika itu bukan sekadar sebagai penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebaliknya beliau turut memberikan perhatian kepada kebajikan dan persiapan para pemain.

“Kita anggap beliau sebagai ibu kepada skuad Piala Thomas ketika itu. Kadang-kadang beliau datang ketika latihan, berjumpa dan berbual dengan kami serta memberikan sepatah dua kata untuk menaikkan semangat.

“Kita tidak akan lupa jasa beliau ketika Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992 di Stadium Negara,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.

Menurut Razif, kenangan bersama Allahyarham tidak terhad kepada kejayaan Malaysia dalam Piala Thomas, malah sokongan beliau turut dirasai ketika temasya Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Pada temasya itu, Razif dan adiknya, Datuk Jalani Sidek mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat Olimpik pertama buat Malaysia.

Katanya, kehadiran Tun Dr Siti Hasmah di Barcelona menjadi antara perkara yang memberi suntikan semangat kepada pemain badminton negara ketika berdepan saingan di temasya tersebut.

“Kehadiran beliau memang memberi makna buat saya dan Jalani, malah menambahkan semangat kami untuk beraksi di Sukan Olimpik.

“Alhamdulillah kami ketika itu berjaya membawa pulang pingat pertama negara di Sukan Olimpik,” katanya.

Razif berkata, pertemuan terakhirnya dengan Tun Dr Siti Hasmah adalah pada tahun lalu.

Tun Dr Siti Hasmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun.

Pemergian Allahyarham disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here