KEDIAMAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di The Mines, Seri Kembangan dipenuhi ahli keluarga dan rakan terdekat yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Suasana hiba menyelubungi kediaman berkenaan apabila anak-anak dan cucu berkumpul bersama ahli keluarga, selain mengadakan bacaan surah Yasin bagi mendoakan Allahyarham.
Antara yang kelihatan, anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Marina Mahathir.
Beberapa pemimpin politik dan kenalan rapat keluarga turut dilihat hadir, antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Jenazah Allahyarham dijadual dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah sekitar jam 2.30 petang.
Pengurusan jenazah dijadual berlangsung selepas itu, diikuti bacaan Yasin dan penghormatan terakhir yang akan bermula pada jam 3 hingga 4 petang.

Solat Asar dan solat jenazah dijadual dilaksanakan pada jam 4.15 petang sebelum jenazah dibawa ke Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya pada jam 4.30 petang untuk dikebumikan.




