KEMAJUAN teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital mesti berpaksikan etika, budaya dan nilai-nilai masyarakat bagi memastikan kemajuan yang bermanfaat dan mampan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perbincangan mengenai masa depan tidak seharusnya terkekang hanya kepada algoritma, kehebatan pengkomputeran atau hasil ekonomi semata-mata, malah juga perlu melibatkan gabungan falsafah, sejarah dan pertimbangan moral.
“Dalam erti kata lain, kemajuan teknologi mesti bergerak selari dengan kemanusiaan, moraliti dan teologi untuk membaca isyarat yang dijangka bagi masa hadapan,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Masa Depan Antarabangsa 2026 di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata bagi Malaysia, kemajuan teknologi tidak pernah dan tidak boleh terpisah daripada masyarakat sebagai penerima manfaatnya.
Perdana Menteri berkata Malaysia perlu mencapai keupayaan dengan yakin namun tidak sekali-kali mengorbankan sikap berkecuali, maruah atau jati diri yang menentukan kedudukan dan hala tuju dalam proses tersebut.
Anwar menyeru pendekatan yang lebih holistik terhadap kajian masa depan, berdasarkan tradisi intelektual Islam apabila sains, falsafah dan etika disepadukan sejak dulu.
Beliau berkata Malaysia perlu memastikan usaha untuk menjadi ekonomi dipacu teknologi kekal berpaksikan rakyat dan bersifat inklusif.
Persidangan dua hari bertemakan Membentuk Masa Depan Melalui Pengetahuan, Inovasi dan Kepimpinan Peradaban itu menumpukan perubahan dan cabaran global yang pesat berkembang, termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, teknologi angkasa lepas, perubahan iklim, peralihan tenaga dan tadbir urus sosioekonomi.





