Ustazah mengaku tidak bersalah cabul pelajar lelaki 16 tahun

SEORANG guru agama wanita di sebuah sekolah menengah kebangsaan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, dua tahun lalu.

Haslina Abu Bakar, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Sharin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah bilik di sebuah sekolah menengah dalam daerah Kinta antara November hingga Disember 2024.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan, lapor Bernama.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin tidak menawarkan jaminan atas alasan kesemua kesalahan merupakan kesalahan yang tidak boleh diberikan jaminan, serta mengambil kira keseriusan kes kerana tertuduh merupakan guru kepada mangsa, selain pelajar itu kini tidak lagi bersekolah di sekolah yang sama dengan wanita tersebut.

Bagaimanapun, peguam bela Amira Sofea An-Nur Ahmad memohon jaminan minimum mengambil kira wanita itu mempunyai enam orang anak berusia lapan hingga 22 tahun yang masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi, mempunyai penyakit kolestrol tinggi dan migrain, selain suaminya mempunyai masalah kesihatan serta tertuduh merupakan sumber pendapatan utama keluarga.

Amira Sofea An-Nur turut memaklumkan Haslina kini berkhidmat di sekolah lain yang jauh daripada mangsa, mempunyai latar belakang perkhidmatan yang baik sebagai guru, bekerja tetap serta kesalahan itu merupakan kesalahan pertamanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here