SEORANG pemandu lori dan pengarah syarikat perlombongan pasir masing-masing didenda RM12,500 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh semalam selepas mengaku bersalah menyimpan 2,115 liter diesel tanpa permit yang disyaki untuk dijual, dua tahun lalu.
Pemandu lori, V Ammasi, 30, dan pengarah syarikat, R Prakash, 43, membuat pengakuan itu terhadap pertuduhan bersama yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) didapati berada dalam kawalan barang kawalan berjadual berupa 2,115 liter diesel yang disimpan tanpa lesen, permit atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan.
Diesel berkenaan disimpan dalam dua tangki IBC yang berada dalam sebuah lori, 15 tong jerry dan dua tong plastik berwarna biru sehingga menimbulkan syak munasabah bahawa urusan jual beli secara runcit terhadap barang kawalan itu akan dilakukan tanpa lesen.
Kesalahan itu dilakukan di premis Trade Shipper Resources du Lombong Pasir, Lot 31588, Jalan Gopeng BT3, Batu Gajah dalam daerah Kinta, kira-kira jam 7.30 pagi pada 13 November 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), N Shamani, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua OKS gagal mengemukakan lesen, permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi memiliki atau berurusan dengan barang kawalan terbabit.
Ketika pemeriksaan dijalankan, cecair diesel didapati sedang dipam keluar daripada sebuah lori bernombor pendaftaran PEP 2855 ke dalam sebuah tong jerry.
Susulan itu, tindakan penyitaan dilakukan dan siasatan lanjut bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mendapati terdapat pengubahsuaian pada lori berkenaan yang dipercayai bagi tujuan penyelewengan.
Dalam rayuan, Prakash yang juga pengarah tunggal syarikat memohon hukuman ringan dengan alasan perniagaan yang diusahakannya terjejas serta mengalami kerugian teruk.
Shamani kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu representasi dikemukakan kepada pihak pendakwaan sebelum ini dan bersetuju supaya kedua-dua OKS dikenakan denda RM12,500 setiap seorang, selain barang kes dilucuthakan kepada kerajaan Malaysia melalui Pengawal Bekalan.
Hakim Ainul Shahrin kemudian menjatuhkan hukuman denda RM12,500 terhadap setiap OKS atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan barang kes termasuk lori, tong plastik, tangki IBC, pam penyedut dan peralatan berkaitan, selain hasil jualan 2,115 liter diesel bernilai RM6,027.75, dilucuthakan kepada kerajaan.
Kedua-dua tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.






