BEBERAPA pemimpin politik dan tokoh kenamaan hadir di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah di Seri Kembangan hari ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Antara yang hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil serta Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.

Turut kelihatan di masjid berkenaan ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama tunangnya, Bella Astillah.
Jenazah Allahyarham tiba di Masjid As Syarif kira-kira jam 2.55 petang selepas dibawa dari kediamannya di The Mines.
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah, 100, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi tadi.
Pemergian Allahyarham disahkan oleh anak lelakinya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Solat jenazah dijadualkan berlangsung selepas solat Asar di masjid berkenaan sebelum jenazah dibawa ke Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya untuk urusan pengebumian.





