KERAJAAN menggesa syarikat telekomunikasi menilai semula kebergantungan kepada set penjana kuasa diesel bagi mengoperasikan kira-kira 60,000 menara telekomunikasi di seluruh negara, khususnya di kawasan pedalaman.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata penggunaan bahan api fosil secara skala besar bagi memastikan menara telekomunikasi kekal beroperasi perlu dikurangkan secara berperingkat dengan beralih kepada sumber tenaga boleh baharu selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Mungkin ada dalam 60,000 menara di seluruh negara. Bolehkah anda bayangkan jumlah tenaga yang digunakan untuk memastikan 60,000 menara telekomunikasi ini kekal aktif dan berfungsi?
“Jadi kita kumpulkan hari ini rakan-rakan yang saya anggap sebagai rakan strategik daripada sektor yang berbeza tetapi masing-masing mempunyai kesan dalam penggunaan tenaga, dan harus kita fikirkan bersama bagaimana kerangka kerjasama dan mungkin insentif boleh diwujudkan supaya mereka boleh memulakan peralihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030) kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan penggunaan diesel bagi sebuah menara setiap bulan bukanlah sedikit, tambahan pula mengambil kira jumlah menara yang beroperasi di seluruh negara.
Fahmi berkata pembangunan dan kemajuan industri komunikasi perlu bergerak seiring dengan usaha kelestarian, termasuk mengambil kira kesan operasi perniagaan terhadap alam sekitar.
Sehubungan itu, kerangka strategik LESTARI diperkenalkan bagi menetapkan hala tuju kelestarian sektor telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier menuju 2030.
Menerusi kerangka itu, MCMC bersama-sama pemain industri menyasarkan pengurusan secara lestari bagi 15 juta peranti elektronik menjelang 2030 untuk mengurangkan lambakan sisa elektronik di negara ini.
Inisiatif berkenaan turut menyokong ekonomi kitaran dengan menggalakkan peranti yang masih berfungsi dibaik pulih dan digunakan semula, sekali gus mengurangkan kos pemilikan peranti pintar.
Usaha itu dijangka memberikan manfaat kepada lima juta rakyat, khususnya golongan rentan dan berpendapatan rendah, menerusi akses lebih luas kepada teknologi mampu milik.
Rangka kerja LESTARI dibangunkan melalui libat urus bersama-sama 116 peserta daripada 47 organisasi dan berteraskan tiga bidang utama iaitu Kelestarian Iklim dan Alam Sekitar; Impak Sosial dan Keterangkuman; serta Teknologi dan Inovasi.
Net Zero & Circularity Alliance (NZCA) iaitu sebuah platform kerjasama industri bagi mengurangkan pelepasan karbon serta memperluas pengumpulan e-sisa secara lebih tersusun turut diperkenalkan pada majlis itu.
Sebanyak 15 organisasi daripada pelbagai sektor dalam ekosistem digital termasuk CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), Astro, Media Prima dan Pos Malaysia turut memeterai ikrar menyokong pelaksanaan LESTARI dan NZCA.





