SEPASANG suami isteri maut manakala anak lelaki mereka cedera selepas Proton Wira dinaiki bertembung dengan Perodua Bezza di Jalan Gemencheh, Tampin pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.55 pagi itu, mangsa wanita berusia 26 tahun yang duduk di tempat penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Suaminya berusia 27 tahun yang memandu kereta berkenaan pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gemencheh.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, kemalangan berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan dari Gemencheh menuju ke Bukit Rokan, manakala Perodua Bezza bergerak dari arah bertentangan.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan yang dipandu sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Bezza berkenaan.
“Akibat kejadian itu, pasangan suami isteri berkenaan disahkan meninggal dunia manakala anak lelaki berusia empat tahun cedera dan dibawa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Amiruddien, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-441 2502 atau pegawai penyiasat, Inspektor Imanul Hassan Mohamad Shah.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.




