POLIS Kontinjen Sabah bercadang menasihatkan kerajaan negeri supaya menangguhkan penganjuran konsert penyanyi gospel antarabangsa, Israel Houghton, susulan sensitiviti yang timbul dalam kalangan masyarakat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya akan memberikan pandangan berhubung penganjuran acara berkenaan sekiranya permohonan rasmi daripada pihak penganjur diterima kerajaan negeri.

Beliau berkata, polis setakat ini menerima dua laporan berkaitan konsert terbabit dan pemantauan terhadap isu itu masih diteruskan.
“Berdasarkan siaran dalam media massa berkaitan dengan konsert ini, kita mendapati banyak reaksi daripada orang ramai termasuk dua laporan polis dibuat kerana dikatakan bahawa penganjuran ini tidak sesuai diadakan ketika ini.
“Memandangkan namanya itu ialah Israel Houghton menyebabkan ia dilihat sebagai sesuatu yang menimbulkan isu sensitiviti dalam kalangan masyarakat.
“Kerajaan negeri akan meminta pandangan daripada polis dan memandangkan keadaan sensitiviti sekarang, kita akan menasihatkan supaya konsert ini tidak diadakan dahulu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu hari ini, lapor Bernama.
Jauteh berkata, kerajaan negeri setakat ini difahamkan belum menerima permohonan rasmi daripada penganjur walaupun promosi acara berkenaan sudah dibuat dengan menyatakan tarikh, lokasi serta harga tiket.
Konsert berkenaan dilaporkan dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu.
Acara itu dikatakan sebahagian daripada jelajah antarabangsa Houghton, dengan Sabah disenaraikan sebagai salah satu lokasi persembahannya di Malaysia.
Israel Houghton ialah penyanyi, penulis lagu dan pemuzik gospel serta Kristian kontemporari kelahiran Amerika Syarikat yang turut dikenali menerusi kumpulannya, Israel & New Breed.
Beliau pernah menerima 19 pencalonan Anugerah Grammy dan memenangi lapan daripadanya, termasuk kemenangan bagi kategori Album Muzik Kristian Kontemporari Terbaik menerusi Coritos Vol. 1 pada Anugerah Grammy 2026.
Houghton sebelum ini turut pernah menyatakan sokongan terhadap Israel menerusi satu hantaran di Instagram pada 8 Oktober 2023.





