Perbicaraan kes rasuah Saravanan diputuskan 3 November depan

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 3 November depan bagi penyerahan dua dokumen serta penetapan tarikh perbicaraan kes bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya P Rubini memaklumkan pihak pendakwaan masih belum menerima dua dokumen berkaitan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Saravanan, 58, menggesa supaya tarikh perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya ditetapkan segera, namun pihak pendakwaan memaklumkan mereka masih belum bersedia berbuat demikian, lapor Buletin TV3.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Saravanan turut memaklumkan pihak pembelaan bersedia menerima dokumen berkenaan dan ia boleh diserahkan pada bila-bila masa sebelum tarikh perbicaraan.

Pada 28 Ogos lalu, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta, empat tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Saravanan didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38.

Suapan itu didakwa sebagai upah kepada Saravanan yang ketika itu merupakan Menteri Sumber Manusia, kerana memberikan kelulusan terhadap permohonan kuota 1,000 pekerja asing untuk TYKB Engineering Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Telawi 3, Bangsar dan Maybank Islamic Berhad Cawangan Jalan Klang Lama pada 7 Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here