Ubat dihantar melalui pos percuma mulai 1 Oktober

KOS penghantaran ubat susulan melalui program Ubat Melalui Pos (UMP) akan ditanggung kerajaan sepenuhnya mulai 1 Oktober ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan semua negeri termasuk kawasan pedalaman mendapat manfaat program berkenaan.

Menurutnya, pada peringkat awal, beberapa negeri memohon untuk tidak terlibat dalam program berkenaan, namun kerajaan memutuskan menyediakan peruntukan tambahan supaya pelaksanaannya diperluaskan ke seluruh negara.

“Ini merupakan program tambahan kepada apa yang Kementerian Komunikasi beri bantuan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata, peruntukan awal yang diteliti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berjumlah RM5 juta, namun jumlah itu akan ditingkatkan susulan keputusan melibatkan semua negeri.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, program berkenaan memberi kemudahan kepada pesakit terutama di kawasan pedalaman yang sebelum ini perlu hadir ke fasiliti kesihatan semata-mata untuk mendapatkan bekalan ubat.

Katanya, kemudahan itu dapat menjimatkan masa dan kos pesakit, selain membantu mengurangkan kesesakan di hospital.

Beliau berkata, kira-kira 87,000 pesakit di seluruh negara yang berdaftar dengan UMP akan mendapat manfaat daripada penanggungan kos penghantaran itu.

Katanya, sebelum ini pesakit perlu membayar kos penghantaran sebanyak RM5.70, manakala kadar bagi Sabah dan Sarawak adalah RM12.50.

Dr Dzulkefly turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat pendaftaran UMP melalui akaun media sosial kerana pendaftaran hanya dilakukan menerusi fasiliti KKM.

“Pendaftaran adalah melalui fasiliti KKM, bukan melalui mana-mana akaun TikTok ataupun Facebook,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here