KOMUNITI Islam di California kini menerima pengiktirafan rasmi terhadap dua perayaan utama mereka apabila Aidilfitri dan Aidiladha dimasukkan ke dalam kalendar cuti umum negeri berkenaan.
Pengiktirafan itu dibuat menerusi undang-undang baharu yang ditandatangani Gabenor California, Gavin Newsom, selepas Rang Undang-Undang Perhimpunan 2017 (Assembly Bill 2017) diluluskan menjadi undang-undang pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Menerusi peruntukan baharu itu, kedua-dua sambutan berkenaan disenaraikan dalam kalendar cuti umum rasmi California.
Aidilfitri disambut umat Islam selepas berakhirnya Ramadan, manakala Aidiladha diraikan ketika kemuncak ibadah haji setiap tahun.
Undang-undang berkenaan turut memberi ruang kepada sekolah awam dan kolej komuniti untuk memberikan cuti sempena kedua-dua perayaan itu menerusi prosedur tempatan yang sedia ada.
Selain itu, kakitangan awam yang memenuhi syarat juga boleh mendapatkan kemudahan cuti bagi membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dan Aidiladha.
“Pengiktirafan Aidilfitri dan Aidiladha sebagai cuti umum wilayah adalah penetapan kalendar sivil yang memperakui kepentingan kebudayaan perayaan berkenaan kepada komuniti di California,” menurut undang-undang itu.





