Fatima Zahra El Mansouri catat sejarah wanita pertama dilantik ketuai Kerajaan Maghribi

RAJA  Maghribi, Raja Mohammed VI, melantik Fatima Zahra El Mansouri sebagai Ketua Kerajaan baharu negara itu dalam satu pertemuan di Istana Diraja di Rabat, Selasa sekaligus mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik menggalas tanggungjawab tersebut.

Pelantikan itu diumumkan menerusi kenyataan Kementerian Rumah Diraja, Protokol dan Canseleri selepas El Mansouri, yang juga penyelaras kepimpinan kolektif Parti Ketulenan dan Moden (PAM), menghadap baginda.

Pelantikan itu dibuat beberapa hari selepas pilihan raya perundangan pada 23 September lalu, yang menyaksikan PAM muncul sebagai parti dengan kerusi terbanyak di Dewan Perwakilan setelah parti berkenaan memenangi 97 kerusi, diikuti Perhimpunan Kebangsaan Golongan Bebas (RNI) dengan 66 kerusi dan Parti Istiqlal dengan 65 kerusi. Ketiga-tiga parti berkenaan sebelum ini membentuk kerajaan pada 2021 dengan Aziz Akhannouch sebagai Ketua Kerajaan.

Mengikut Perkara 47 Perlembagaan Maghribi, Raja melantik Ketua Kerajaan daripada parti politik yang memperoleh jumlah kerusi terbanyak dalam pilihan raya anggota Dewan Perwakilan. Raja Mohammed VI turut memberi mandat kepada El Mansouri untuk membentuk kerajaan baharu.

Fatima Zahra El Mansouri mempunyai latar belakang undang-undang dan pengalaman politik yang luas, termasuk sebagai Datuk Bandar Marrakech serta menteri dalam kerajaan Maghribi.

Beliau memiliki ijazah Undang-undang Anglo-Saxon dari Pace University di New York, diploma pascasiswazah dalam undang-undang kontrak perniagaan dari University of Montpellier, selain ijazah sarjana muda dalam undang-undang persendirian dari Mohammed V University di Rabat.

El Mansouri mula beramal sebagai peguam di Mahkamah Peguam Marrakech pada 2005, dengan pengkhususan dalam undang-undang hartanah.

Beliau pada asalnya merupakan seorang ahli perundangan tanpa sebarang hubungan dengan parti politik sehingga usia 30-an. Penglibatannya dalam politik bermula pada 2007 menerusi Movement for All Democrats, sebelum menjadi antara anggota pengasas PAM pada 2008. Parti  itu ditubuhkan pada tahun sama oleh Penasihat Diraja, Fouad Ali El Himma.

Pada 2009, El Mansouri mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Datuk Bandar Marrakech, menjadikannya wanita pertama memegang jawatan berkenaan. Beliau menerajui majlis bandar raya itu sehingga 2015. Beliau turut menjadi anggota Parlimen dari 2011 hingga 2016, sebelum kembali berkhidmat sebagai Ahli Parlimen bagi penggal 2016 hingga 2021. Antara 2015 hingga 2024, El Mansouri mempengerusikan Majlis Kebangsaan PAM.

Selepas pilihan raya 2021, beliau kembali memegang jawatan Datuk Bandar Marrakech dan pada tahun sama menyertai kerajaan pimpinan Aziz Akhannouch sebagai Menteri Perancangan Wilayah Negara, Perancangan Bandar, Perumahan dan Dasar Bandar. Kedudukannya dalam PAM semakin kukuh pada Februari 2024 apabila Kongres Kebangsaan Kelima parti itu di Bouznika memilihnya sebagai penyelaras kepimpinan kolektif PAM, bersama Mohamed Mehdi Bensaid dan Fatima Saadi. Pasukan berkenaan diberi tanggungjawab untuk membawa parti itu ke fasa baharu selepas kepimpinan Abdellatif Ouahbi.

El Mansouri turut mendapat pengiktirafan antarabangsa. Pada 2014, Forbes menamakannya sebagai wanita muda paling berpengaruh dalam senarai 20 wanita muda paling berpengaruh di Afrika. Pada tahun sama, beliau turut dinamakan sebagai Young Global Leader. Beliau berkahwin dan mempunyai dua anak.

El Mansouri sebelum ini menolak gelaran “wanita besi” yang diberikan kepadanya, sebaliknya menyifatkan dirinya sebagai seorang “aktivis bebas”.

Beliau juga menggambarkan perjalanan politiknya sebagai hasil penglibatan dalam parti politik dan pentadbiran tempatan, bukannya semata-mata kerana faktor gender.

Selepas kemenangan PAM dalam pilihan raya, El Mansouri berkata keputusan itu mencerminkan kepercayaan besar rakyat terhadap parti berkenaan, yang menurutnya terbina hasil perjuangan selama 18 tahun. Beliau turut menyifatkan kemungkinan mengetuai kerajaan Maghribi sebagai “satu penghormatan besar.”



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here