SEORANG wanita maut selepas kereta dinaikinya terbabas dan masuk ke dalam parit di Kilometer 79, Kampung Bukit Grebar, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Setiu awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, mangsa, Raja Norizan Raja Ali, 41, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, kereta berkenaan dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan masuk ke dalam parit.
“Akibat kemalangan, pemandu mengalami kecederaan pada kaki kanan, manakala penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.
Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





