BEKAS Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan memperdaya Lembaga Pengarah Felda berhubung urusan pemberian kuasa untuk menukar hak milik 16 lot tanah milik badan berkanun itu, 12 tahun lalu.
Faizoull mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya yang memakai kemeja kelabu ketika berada di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Faizoull yang ketika itu memegang jawatan Pengarah Besar Felda didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah dengan menyembunyikan secara tidak jujur fakta berkaitan surat kuasa wakil (Power of Attorney) bertarikh 3 Jun 2014.
Surat berkenaan memberikan kuasa kepada Synergy Promenade Sdn Bhd untuk menukar hak milik tanah Felda yang terbabit dalam projek Cadangan Pembangunan Lot Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan Lembaga Pengarah Felda bersetuju dengan surat kuasa wakil berkenaan sebelum tanah milik Felda terbabit kemudiannya ditukar hak milik kepada Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd dan Synergy Promenade Sdn Bhd.
Faizoull didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Nombor 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur pada 2 September 2014.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.





