USAHA mendapatkan kepastian mengenai nasib 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan selepas bencana banjir di Nepal akan dipercepat menerusi perbincangan antara Peguam Negara dan pihak berkuasa negara itu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan menjadi antara susulan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Nepal, Balendra Shah baru-baru ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri Nepal memberikan komitmen untuk membantu mempercepat proses mengenal pasti status rakyat Malaysia yang sehingga kini masih belum dapat dikesan.
Susulan itu, Anwar mengarahkan Peguam Negara mengambil langkah segera dengan mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa Nepal.
“Perdana Menteri telah mengarahkan supaya Peguam Negara segera mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal bagi mempercepatkan proses pengesahan status berkenaan.
“Perkara ini turut mempunyai kaitan dengan aspek perundangan serta proses mahkamah, sebab itu Peguam Negara diberikan tanggungjawab untuk membantu mempercepatkan urusan tersebut,” katanya.
Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Sebelum ini, kerajaan Nepal dilaporkan sedang meneliti pilihan dari sudut perundangan bagi menentukan kedudukan individu yang masih belum dapat dikenal pasti statusnya susulan bencana yang berlaku di negara berkenaan.
Bagaimanapun, Wisma Putra menjelaskan bahawa sebarang langkah berkaitan masih perlu melalui prosedur undang-undang domestik Nepal dan belum berkuat kuasa setakat ini.





