Kematian pelajar sekolah sukan: 5 pelajar dakwa pernah dibuli suspek

LIMA pelajar tampil mendakwa pernah dibuli seorang daripada dua pelajar ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar lelaki tingkatan dua di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perkara itu didedahkan melalui siasatan lanjut terhadap 69 keterangan yang direkodkan setakat ini.

“Hasil soal siasat dan ketika keterangan diambil, lima pelajar mendakwa pernah dibuli seorang daripada pelajar yang ditahan bagi membantu (siasatan) insiden tersebut.

“Setakat ini, tiada tangkapan baharu dibuat, selain dua lelaki berusia 16 tahun yang kini direman sehingga 1 dan 3 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp, lapor Bernama.

Alzafny berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa tidak pernah memaklumkan pernah dibuli di sekolah kepada keluarganya.

Media semalam melaporkan Alzafny memaklumkan, pihaknya menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun, menjadikan dua yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Sebelum itu, seorang pelajar tingkatan empat direman enam hari bagi membantu siasatan.

Alzafny sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya dimaklumkan satu kejadian mendatangkan kecederaan terhadap pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah.

Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.

Siasatan menyeluruh masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here