Nash cedera di kepala, terlibat kemalangan motosikal

PENYANYI rock legenda, Datuk Nashruddin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash mengalami kecederaan pada bahagian kepala dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Isyak di Shah Alam malam tadi.

Penyanyi utama kumpulan rock kapak Lefthanded itu menerima rawatan di hospital dan terpaksa menerima 24 jahitan pada kepala dan 28 jahitan di dahi kiri, namun pemeriksaan lanjut mendapati tiada kecederaan dalaman yang serius.

Menurut Nash, 67, kejadian berlaku ketika beliau dalam perjalanan pulang selepas selesai menunaikan solat Isyak dan mengikuti ceramah di surau berhampiran kediamannya.

“Selepas solat saya mengikuti ceramah dan barulah pulang ke rumah. Keadaan cuaca pula hujan. Dalam perjalanan itulah kemalangan berlaku,” katanya, lapor Harian Metro.

Nash turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk setempat yang membantu selepas kejadian tersebut.

“Saya ucapkan terima kasih kepada penduduk sekitar yang membantu saya malam tadi. Alhamdulillah, saya hanya mengalami kecederaan luaran di bahagian kepala, manakala pemeriksaan dalaman mendapati tiada yang serius,” katanya.

Penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu pada mulanya dibawa ke Hospital Shah Alam sebelum dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam untuk rawatan lanjut hari ini.

Keadaannya ketika diziarahi media mendapati beliau masih mengalami luka pada kepala, selain mata kirinya belum dapat dibuka sepenuhnya.

“Minta maaf kerana saya tidak dapat buka mata buat masa ini,” katanya.

Nash turut menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selain mendapat kata-kata semangat dan doa daripada Ustaz Syed Putra serta Datuk Awie yang ketika ini berada di Tanah Suci bagi menunaikan umrah.

Dalam pada itu, keluarga Nash meminta orang ramai memberikan ruang kepadanya untuk berehat dan buat sementara waktu tidak membenarkan kunjungan pelawat ke hospital.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here