SPRM kemuka syor perkemas tata kelola Felda dan dua anak syarikat

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan bagi memperkukuh aspek tata kelola dalam pelaksanaan projek dan urus niaga membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta dua anak syarikatnya.

Syor berkenaan dikemukakan Bahagian Penyiasatan Tata Kelola (BPT) SPRM kepada dua anak syarikat Felda iaitu FIC Supplies Sdn Bhd dan FIC Integrated Property Management (FIC IPM), khususnya berkaitan pelaksanaan Projek Agro Park (Komersial) serta Projek Rintis Urus Niaga Jual Beli Lembu.

DATUK Mohd Zaki Hassan (empat dari kanan) menerima Laporan Penambahbaikan Tata Kelola yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FIC, Syed Fadil Syed Sofi di Menara Felda di ibu negara pada Isnin lalu. GAMBAR: SPRM

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, antara perkara yang dicadangkan adalah penstrukturan semula peranan FIC IPM sebagai panel penasihat bebas bagi memastikan pandangan yang diberikan bersifat objektif serta tidak dipengaruhi konflik kepentingan.

“BPT SPRM turut mencadangkan Felda mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi kaedah perolehan melalui Request for Proposal (RFP) serta pengurusan perubahan kerja atau Variation Order (VO),” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut SPRM, penambahbaikan itu penting bagi memastikan proses perolehan dan urus niaga dilaksanakan secara lebih tersusun, konsisten serta telus mengikut peraturan dan kawalan dalaman yang ditetapkan.

Suruhanjaya itu memaklumkan, prosedur berkaitan urusan jual beli oleh FIC Supplies juga dicadangkan untuk ditambah baik bagi memperkemas kawalan serta tadbir urus dalam pelaksanaan urus niaga berkenaan.

Cadangan itu dibentangkan Timbalan Pengarah 1 BPT SPRM, Maznah Che Muda dalam satu pertemuan di Bilik Mesyuarat Pengarah Besar Felda, Menara Felda di Persiaran KLCC pada Isnin lalu.

Felda bersama anak syarikatnya menyambut baik syor tersebut dan menyatakan komitmen untuk melaksanakannya secara berperingkat sebagai sebahagian usaha memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus organisasi.

Persetujuan itu turut direkodkan menerusi Laporan Penambahbaikan Tata Kelola yang ditandatangani Timbalan Pengarah Besar Servis Korporat Felda, Muhammad Fitri Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FIC, Syed Fadil Syed Sofi bersama Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here