DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada Universiti Malaya (UM) atas kejayaan bersejarah menembusi kelompok 200 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education World University Rankings 2027.
Perdana Menteri berkata, pencapaian UM yang menduduki tempat ke-194 membuktikan keupayaan institusi pendidikan tinggi negara untuk bersaing dengan universiti terkemuka di peringkat global.
Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, Anwar berkata, kejayaan itu turut mencerminkan kecemerlangan UM dalam bidang pengajaran dan penyelidikan.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan perlu menjadi pemangkin untuk UM dan institusi pendidikan tinggi lain terus memperkukuh budaya ilmu, kebebasan berfikir serta penyelidikan yang memenuhi keperluan masyarakat dan negara.
“Universiti harus melahirkan generasi yang tajam akal, teguh nilai dan akhlak serta berani meneroka gagasan baharu,” katanya dalam hantaran itu hari ini.
Anwar berkata, kejayaan UM itu juga mampu meningkatkan keyakinan terhadap kemampuan institusi pendidikan tinggi Malaysia untuk terus mengangkat martabat ilmu di peringkat antarabangsa.
Beliau berharap UM dapat meneruskan kecemerlangan dan melakar lebih banyak kejayaan yang mengharumkan nama Malaysia.





