CUBAAN seorang lelaki melarikan diri menggunakan lori yang dilaporkan hilang berakhir dengan dia ditahan selepas kenderaan berat itu dikesan polis di kawasan Perindustrian Tanjung Langsat di Pasir Gudang hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki tempatan berusia 30-an itu turut didapati memiliki satu peket lutsinar berisi bahan yang disyaki dadah ketika pemeriksaan dilakukan.
Menurutnya, kejadian dikesan selepas polis menerima maklumat orang awam mengenai sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat itu, polis berjaya mengesan lori terbabit namun suspek yang memandu kenderaan itu enggan memberhentikannya.
“Suspek turut memandu secara berbahaya ketika cuba melarikan diri dan melanggar kereta peronda polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek bagaimanapun berjaya diberkas di sekitar Pasir Gudang selepas dikejar anggota polis.
Hasil semakan mendapati lori berkenaan sebelum itu dilaporkan hilang di kawasan Plentong, Johor Bahru.
Mohd Sohaimi berkata, semakan rekod turut mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki terbabit pula menunjukkan keputusan positif methamphetamine.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 berkaitan pemilikan dadah dan Seksyen 15(1) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.
Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Sebelum ini, rakaman video memaparkan aksi kereta peronda polis mengejar sebuah lori yang dipandu secara berbahaya tular dalam media sosial.





