CBP perkukuh budaya integriti, antirasuah dalam kalangan warga kerja

CO-OPBANK Pertama (CBP) terus memberi penekanan terhadap pengukuhan budaya integriti dan usaha membanteras rasuah menerusi Sambutan Hari Antirasuah dan Integriti (HARI) CBP 2026.

Program yang berlangsung di Dewan Dato’ Yusoff Hilmi, Wisma Co-opbank Pertama semalam itu menjadi wadah bagi meningkatkan kesedaran warga kerja mengenai kepentingan mengamalkan nilai amanah, integriti dan etika dalam melaksanakan tanggungjawab.

Antara pengisian utama program ialah forum bertemakan “Integriti Korporat: Antara Tekanan Prestasi dan Prinsip” yang menampilkan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib dan Timbalan Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Mohamad Zaki Abu Hasan.

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, amalan integriti perlu diterapkan menerusi tindakan dan keputusan harian, termasuk pengurusan maklumat serta aset organisasi dan pengendalian konflik kepentingan secara berhemah.

Menurutnya, setiap warga kerja perlu mempunyai ketegasan untuk menolak sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa, penipuan, manipulasi serta penyalahgunaan aset dan maklumat milik organisasi.

“Setiap warga kerja CBP perlu mempunyai keberanian untuk menolak rasuah, salah guna kuasa, penipuan, manipulasi serta sebarang bentuk penyalahgunaan aset dan maklumat organisasi.

“Budaya integriti juga menuntut setiap warga kerja agar tidak berdiam diri apabila berhadapan dengan perkara yang tidak wajar, sebaliknya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengelakkan masalah yang lebih besar,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada program itu.

Baharom berkata, sebagai sebuah institusi kewangan, CBP mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kepercayaan anggota dan pelanggan terus dipelihara.

Justeru, katanya, setiap urusan perlu dikendalikan secara jujur, telus, profesional dan beretika supaya keyakinan pihak berkepentingan terhadap institusi itu kekal kukuh.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha membudayakan integriti perlu bermula daripada kepimpinan melalui teladan, selain diterjemahkan menerusi tindakan yang konsisten di semua peringkat organisasi.

Katanya, setiap keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kepentingan organisasi dan pihak berkepentingan, di samping dilaksanakan secara bertanggungjawab serta telus.

“Saya berharap agar HARI CBP 2026 dapat menyemarakkan kesedaran, memperkukuh komitmen dan menyatukan seluruh warga kerja dalam usaha membina budaya kerja yang lebih berintegriti,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here