Lelaki maut dipercayai terjatuh dari pangsapuri di Cheras

SEORANG lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri di Taman Bukit Segar, Batu 9 Cheras petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 3.46 petang.

Menurutnya, sepasukan polis bersama Unit Forensik kemudian dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Naazron berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menetap di salah sebuah unit di tingkat tujuh blok berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menunjukkan sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) untuk menjalani bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau menyaksikannya diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sab Inspektor Norfaizal Zakaria di talian 016-290 2901.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here