TIMBALAN Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan hari ini terus mempersoalkan keperluan membawa anak lelakinya yang berusia 12 tahun ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penjelasan terbaharu agensi itu berhubung perkara berkenaan.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata, beliau difahamkan anaknya perlu hadir sendiri untuk menerima notis pengisytiharan harta susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman sebelum ini.
Katanya, kenyataan pada 25 September lalu yang menyebut notis berkenaan akan diserahkan kepada beliau, isteri dan dua anak manakala seorang lagi anak yang berada di luar negara akan menerimanya pada November, memberi gambaran bahawa anak lelakinya yang berusia 12 tahun perlu hadir.
“Dengan seorang anak berada di luar negara, wajar difahami bahawa seorang lagi itu merujuk kepada anak lelaki saya yang berusia 12 tahun,” kata Saravanan menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Bagaimanapun, SPRM semalam menjelaskan bahawa notis pengisytiharan harta tidak pernah diserahkan kepada kanak-kanak berkenaan.
Abd Halim dilaporkan berkata, SPRM menggunakan budi bicara dan pertimbangan munasabah untuk mengecualikan anak Saravanan daripada menerima notis itu. Beliau turut menjelaskan bahawa kehadiran kanak-kanak tersebut di ibu pejabat SPRM bukan bermakna dia dipanggil untuk menerima notis.
Namun menurut Saravanan, beliau hanya mengetahui bahawa anaknya tidak perlu menandatangani sebarang dokumen atau menerima notis selepas mereka tiba di ibu pejabat SPRM.
Katanya, beliau turut memaklumkan kepada pegawai SPRM bahawa anaknya masih di bawah umur dan tidak mempunyai sebarang harta atas namanya.
“Jika dia tidak perlu hadir, mengapa perkara ini tidak dijelaskan sebelum seorang kanak-kanak 12 tahun dibawa ke ibu pejabat agensi antirasuah?. Inilah perkara mengarut yang menjadi intipati insiden ini,” katanya.
Saravanan sebelum ini turut mempersoalkan alasan SPRM berhubung kehadiran anaknya di ibu pejabat agensi itu, termasuk penjelasan bahawa anak-anaknya mungkin dibawa bersama kerana tiada individu lain untuk menjaga mereka di rumah.
Beliau berpandangan urusan penyampaian notis berkenaan kepada anaknya boleh diselesaikan melalui dirinya sebagai bapa tanpa memerlukan kanak-kanak itu hadir.
Pada 28 September lalu, Saravanan bersama isteri dan dua anaknya hadir ke ibu pejabat SPRM bagi menerima notis pengisytiharan harta.





